Oleh: MOHD FARIQ

APABILA anak buah Kim Pan-gon turun ke padang malam ini, mereka barangkali tidak sedar bahawa keputusan pertemuan dengan Bahrain boleh mengubah lanskap bola sepak negara, secara langsung atau tidak langsung.

Sebarang keputusan positif – menang atau seri – akan mendekatkan pasukan negara selangkah untuk layak ke Piala Asia AFC 2023, yang kali terakhir Malaysia sertai pada 2007 atas tiket tuan rumah.

Secara merit, kita sebenarnya hanya layak ke Piala Asia 43 tahun lepas ketika aksi di Kuwait pada tahun 1980.

Menang atau seri akan mendekatkan pasukan negara selangkah ke pusingan akhir yang disertai secara merit kali terakhir pada 1980 apabila jurulatih dari Kelantan, Allahyarham Mohamed Che Su, membimbing skuad kebangsaan.

 

Umum sedar dalam bola sepak, tempoh enam bulan atau setahun boleh mengubah nasib pasukan.

Untuk edisi 1980, proses kelayakannya berlaku pada 1979, apabila mendiang Karl Weigang selaku penasihat dan jurulatih Allahyarham Datuk Mohamad Bakar menerajui pasukan. Kedua-duanya turut merencanakan kelayakan skuad negara ke temasya Olimpik 1980 di Moscow yang akhirnya dipulau oleh Malaysia.

April 1980 Malaysia layak ke Olimpik menewaskan Korea Selatan dan Jepun. September 1980, nama Weigang dan Mohamad terkeluar daripada percaturan pada era pelantikan jurulatih dibuat secara ad-hoc.

Datuk Soh Chin Aun, Datuk Jamal Nasir Ismail, Datuk Shukor Salleh, Datuk Abdah Alif, Bakri Ibni dan Abdullah Ali adalah antara tonggak pasukan untuk kelayakan Olimpik dan Piala Asia AFC 1980,

Kita pusingkan semula jam ke hari ini, keputusan positif malam harus membawa seribu erti.

 

Menang maka anak buah Pan Gon menggenggam enam mata. Seri bermakna Malaysia sudah ada empat mata. Kedua-dua keputusan akan meringankan tekanan menjelang pertemuan terakhir dengan Bangladesh pada Selasa nanti.

Kalah tidak bermaksud perjuangan sudah terkubur. Kerana naib juara kumpulan tetap berpeluang menyelitkan diri ke pusingan akhir sebagai antara lima naib juara kumpulan terbaik.

Faktor yang boleh mempengaruhi prestasi pasukan negara ialah sama ada mereka sudah pulih daripada kerahan tenaga ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 pada Rabu lalu, berbanding Bahrain yang memadai menang 2-0 ke atas Bangladesh tetapi sempat menyimpan tenaga pada babak kedua kerana menyedari pertemuan malam ini bakal menentukan hala tuju kumpulan.

 

Di atas kertas, Bahrain yang tidak pernah kempunan layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC sejak 2004, adalah pasukan pilihan. Berkedudukan ke-89 dalam ranking FIFA, anak buah Helio Sousa diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain yang beraksi di luar Bahrain.

Sejak dilantik menerajui Bahrain pada 2019, Sousa membawa Bahrain menjuarai Piala Asia Barat dan Piala Negara Teluk.

Kali terakhir bertemu, Bahrain menang 2-0 pada pertemuan persahabatan di Manama menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 pada Mei tahun lalu.

Namun Malaysia ada rekod baik di gelanggang sendiri.

Pada kempen kelayakan Piala Asia 2004, Malaysia yang dibimbing oleh Allan Harris, mengikat Bahrain 2-2 hasil jaringan Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober 2003.

Skuad muda bimbingan B. Satiananthan pula mengikat Bahrain tanpa jaringan pada kelayakan Piala Dunia 2010 pada Oktober 2007.

Norshahrul Idlan Talaha melencongkan sepakan dari luar kotak penalti untuk mengikat Bahrain 1-1 di Stadium Shah Alam pada Oktober 2013 untuk kempen kelayakan Piala Asia 2015 di bawah teraju Datuk K. Rajagobal.

Percaturan berbeza Pan-gon bakal menjadi tumpuam malam ini.

Berdasarkan persembahan pada 20 minit pertama ketika menewaskan Turkmenistan, barisan negara mampu melakukan tekanan ke atas pihak lawan lalu menjaringkan gol.

Rangkaian penyerang Darren Lok, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Faisal Halim bersama enjin tenga Syamer Kutty Abba dan Azam Azih kena bijak menekan dan mencipta ruang sebelum Akhyar Rashid, Mohammadou Sumareh dan Syafiq Ahmad meneruskan tekanan pada babak kedua.

Farizal Marlias, Dion Cools, Shahrul Saad, La’Vere Corbin Ong dan Matthew Davies tidak boleh alpa dan kekal fokus sepanjang 90 minit, apatah lagi Abdullah Yusuf Helal beraksi di Republik Czech, manakala gerakan Bahrain di tengah disalurkan oleh perancang, Kamil Al Aswad.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyerah jersi Malaysia kepada Perdana Menteri sebelum ini.

Keputusan positif akan mengundang aura positif untuk pasukan negara. Ia akan memberi gambaran bahawa skuad negara boleh menerima tekanan dari luar dan dalam, tidak peduli drama luar padang serta membuktikan kepada peminat bahawa Pan Gon membawa sinar baharu untuk Harimau Malaya.

Apa yang turut menjadi tumpuan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir ke stadium bagi sama-sama menyaksikan perlawanan keramat ini.