PASUKAN di tangga ke-91 dunia iaitu Syria kembali menguji skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan 8 Januari 2024 di Doha, Qatar.
Perkara itu dikongsikan Syria FA sekali gus menamatkan bualan hangat peminat pertemuan dengan Arab Saudi yang dibatalkan sebelum ini.
“Pengurusan pasukan kebangsaan mengesahkan pertemuan persahabatan dengan Kyrgyzstan dan Malaysia sebagai persiapan menghadapi final Piala Asia – Qatar 2023.
“Perlawanan tidak disiarkan di televisyen dan tanpa kehadiran orang ramai,” menurut kenyataan itu.
إدارة المنتخب الوطني الأول تثبت لقائين وديين مع قيرعزستان وماليزيا استعداداً لنهائيات كأس آسيا – قطر 2023. pic.twitter.com/jX88Li9Fx9
— Syrian Football Association (@SyrianFa1) December 13, 2023
Sebagai rekod Malaysia pernah bertemu Syria sebanyak enam kali sejak 1978 dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia dua kali dan Syria memenangi pertemuan sebanyak tiga kali serta aksi terbaharu di Chengdu, China berakhir seri 2-2.
Skuad kebangsaan yang menduduki ranking ke-130 dunia dijangka memulakan kem latihan pusat pada minggu depan sebagai persiapan fasa akhir menjelang kejohanan bola sepak paling berprestij Asia itu.
Malaysia yang berjaya layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun telah diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.
Pasukan negara dijadual menentang Jordan pada 15 Januari depan, Bahrain (20 Januari) dan aksi terakhir kumpulan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari.