SAMBIL menghayati sisa baki perlawanan musim ini, pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Jordi Amat telah mengimbau semula detik manis ketika Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyapa dirinya untuk menyertai kelab gergasi itu.

Jordi yang baru tahun ini beraksi bersama JDT bagaimanapun mempunyai keyakinan yang tinggi dan cemerlang untuk terus menjadikan kelab dari Selatan itu sebagai satu kelab yang dikenali pada peringkat antarabangsa.

Namun begitu, pemain berusia 31 tahun ini belum berhasil untuk mencipta sebarang gol bersama JDT tetapi berjaya mendapatkan satu ‘assists’ dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.

Perkara sedemikian pastinya tidak mematahkan semangat pemain dari Sepanyol itu untuk terus mengembangkan kariernya dan konsisten dalam setiap perlawanan musim hadapan sejurus dirinya mendapat kepercayaan oleh TMJ sendiri.

“Sudah hampir ke penghujung musim dan sejujurnya saya sangat gembira bersama JDT dan akan menampilkan aksi yang lebih baik pada tahun yang seterusnya pula.

“Ya, ketika saya di ajak oleh Tunku untuk menyertai kelabnya, Baginda menyatakan keinginan dan matlamatnya dengan penuh jelas kepada saya.

“Baginda terus berkata kepada saya: Jordi, sertai kami dan disini kamu akan dapat kebahagiaan, kamu akan dapat gelaran juara.

“Dan saya membalas: Saya percaya Tunku, saya akan beri hidup saya dan segalanya buat JDT.

“Keluarga saya juga gembira dengan peluang yang diberikan kepada saya jadi saya melebarkan sayap di JDT, dengan negeri Johor yang sangat bagus serta rakyat Malaysia yang sangat peramah.

“Sekarang saya hanya berpandukan hidup untuk trofi dan dalam masa yang sama bergembira dengan pasukan juga tulang-tulang belakang kami,” ujarnya kepada pihak media.

Sementara itu, Jordi turut memberi komen terhadap rakan sepasukannya iaitu Feroz Baharuddin dimana dia akui kehebatan yang ada pada pemain muda itu.

“Dia pemain yang bagus, sentiasa mendengar arahan dan saya pernah berpesan kepada dia bahawa kariernya akan jadi lebih cemerlang jika dia kekal fokus dan perjalanannya sebagai pemain muda lebih cerah,” katanya.