KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kegagalan pasukannya menahan asakan ketika serangan balas menjadi punca kekalahan 1-3 kepada PSM Makassar dalam aksi terakhir Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis.
Meskipun skuad Badak sudah layak ke peringkat zonal semi final Asean, Kim Swee masih tidak berpuas hati dengan kelekaan anak-anak buahnya yang Membenarkan PSM Makassar mendahului 2-0 pada babak pertama.
“Satu keputusan yang tidak bagus untuk Sabah FC dengan peluang-peluang yang dicipta tidak dapat disempurnakan dan kita tahu pasukan PSM Makassar akan datang dengan taktikal bertahan dan bermain dengan serangan balas.
“Mereka berjaya melakukannya di mana kita tidak dapat melawan asakan mereka terutama dari segi larian-larian di belakang pertahanan dan serangan balas yang cukup pantas,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu juga tidak gembira melihat para pemainnya yang leka pada babak pertama dan dihukum pihak lawan sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua dalam kempen Piala AFC kali ini.
“Bagi saya satu perkara yang kurang memuaskan pada babak pertama di mana kita leka dan dihukum. Pada babak kedua kita cuba mendapatkan gol awal tetapi hanya dapat pada minit ke-75 dan ketika kita cuba mendapatkan gol penyamaan kita kena sekali lagi dengan serangan balas dan mereka berjaya mendapatkan sepakan penalti,” jelasnya.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares bangga dengan usaha pemainnya yang rata-rata terdiri dari pemain muda untuk mencipta kemenangan di tempat lawan meskipun gagal layak ke peringkat seterusnya.
“Saya gembira dengan keputusan ini dan penting kami jaringkan gol dahulu sebelum Sabah kerana kami mampu mengawal perlawanan. Selain itu kami juga dapat buktikan yang kami mampu menang di tempat lawan sekiranya kami fokus dan ini buatkan saya bangga dan harap kemenangan ini akan beri motivasi kepada penyokong kami,” jelasnya.
Sabah akan meneruskan perjuangan di semi final bertemu wakil Australia, Macarthur FC dalam misi mengulangi pencapaian Johor Darul Ta’zim dan Kuala Lumpur City FC yang muncul juara dan naib juara dalam edisi 2005 dan 2021.