TERENGGANU FC (TFC) mengesahkan tempat keenam dalam kempen Liga Super 2023 selepas menewaskan Perak 3-0 pada aksi terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Ahad malam.
Naib juara Piala Malaysia itu memerlukan tujuh minit untuk memecahkan kebuntuan berpunca kesilapan penjaga gol Perak, Farhan Abdul Majid sebelum Ivan Mamut mudah menolak masuk gol pertama TFC.
TFC kemudian melebarkan jaringan apabila hantaran lintang Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dari sebelah kanan ditanduk kemas Engku Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-17.
Pintu gol pelawat nyaris dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-23 mujur kali ini Farhan lebih tangkas menepis percubaan Sony Norde yang masuk di kawasan berbahaya di sebelah kiri.
Kedudukan 2-0 kekal ke bilik persalinan setelah sepakan Norde pada minit ke-44 hasil gerakan dengan Mamut melambung tinggi sebelum pengadil meniup wisel tamat separuh masa.
Bersambung babak kedua Perak memiliki peluang pertama menyaksikan voli pemain gantian, Shivan Pillay Asokan minit ke-47 mudah ke dakapan penjaga gol TFC, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.
Aksi makin rancak giliran skuad Peteh mengasak namun percubaan Nik Sharif Haseefy minit ke-48 diselamatkan penjaga gol disusuli rembatan Mamut minit ke-51 tinggi melepasi sasaran.
TFC dihidangkan peluang terbaik minit ke-57 menyaksikan percubaan berturut-turut Norde dan Engku Nur Shakir melantun menggegar palang untuk menyelamatkan gawang Perak.
Norde terus kempunan untuk menjadi pencetak gol malam ini apabila sepakan leretnya minit ke-61 terkena tiang ketika penjaga gol Perak sudah tertewas di posisinya.
Gol ketiga dicari-cari TFC menjelma minit ke-81 apabila Norhakim Hassan bijak melepasi perangkap offside sebelum menggelecek penjaga gol untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat dengan TFC kembali naik ke kedudukan keenam mengumpul 40 mata manakala Perak terpaksa akur di tempat ke-11 memungut 22 mata.