JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou menutup tirai 2023 dengan dua pingat masing-masing emas dan perak di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Fazza Dubai 2023.

Beraksi di Kelab Al Nasr, Liek Hou meraih emas dalam acara beregu lelaki SU5 bersama gandingannya Muhammad Fareez Anuar selepas berjaya menewaskan pasangan Taiwan, Fang Jen-Yu-Gui Yu Pu 21-1, 21-10 sekali gus mempertahankan gelaran diraih mereka tahun lalu.

Mengakui sudah memberikan yang terbaik di kejohanan itu, Liek Hou akur dengan penamat tahun ini dan mengarahkan tumpuannya kepada Kejohanan Dunia Badminton Para di Pattaya, Thailand pada Februari nanti.

“Kejohanan yang terakhir untuk tahun ini selesai dengan pingat emas di beregu SU5 dan perak di perseorangan SU5,” kata Liek Hou dalam hantarannya di aplikasi Instagram.

“Tidak mudah untuk mengekalkan prestasi yang luar biasa di setiap pertandingan tetapi saya sudah cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pingat di setiap kejohanan.

“Tiba waktu untuk saya berehat sekejap dan kembali ke latihan untuk persiapan kejohanan yang akan datang tahun depan iaitu Kejohanan Dunia Para Badminton yang akan diadakan pada Februari.

“Terima kasih 2023 dan saya berharap tahun 2024 akan memberikan saya kekuatan dan kesihatan. Doakan yang terbaik bagi saya untuk tahun depan.”

Begitupun, pemain ranking pertama dunia itu akur dengan kehebatan rakan senegara, apabila melepaskan kejuaraan dalam acara perseorangan SU5 selepas tewas kepada Fareez 19-21, 19-21 dalam tempoh 32 minit.

Antara pencapaian diraih Liek Hou dalam acara perseorangan tahun ini adalah meraih emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol, Kejohanan Para Brazil dan Kejohanan Para Antarabangsa England.