SAINGAN hoki Piala Dunia Remaja Lelaki berakhir Sabtu lalu, berlangsung hambar tanpa penonton yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kehambaran itu jelas sekali menenggelamkan prestij kejohanan yang berkelas dunia.
Situasi itu bagaimanapun sudah dijangka oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) namun tidak dapat mengelak daripada meneruskannya di Kuala Lumpur.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, salah satu sebab utama perkara itu terjadi adalah kerana kejohanan berkenaan diadakan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan dipengaruhi beberapa faktor lain.
Menurutnya, beliau sudah memohon kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menganjurkan Piala Dunia Remaja itu di luar Kuala lumpur namun atas faktor logistik dan keselamatan, ia tetap diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
“Orang di kawasan bandar ini, mereka mempunyai kemudahan untuk akses teknologi dan menonton secara dalam talian melalui gajet sahaja selain kesesakan lalu lintas serta keadaan cuaca sering hujan juga menjadi salah satu faktornya.
“Pada awalnya memang saya sudah agak isu ini akan timbul dan stadium (Stadium Hoki Nasional Bukit) kita besar dan muat sehingg 12,000 penyokong, kalau kata stadium itu kecil sikit, mesti akan nampak lebih padat tapi sebab 12,000 kapasiti, itu nampak sikit.
“Kalau buat di bandar besar memang sambutan kurang, sebab itu itu kita tengok di India, mereka akan cuba elak buat di Mumbai, New Delhi dan Chennai tapi mereka akan buat di luar kawasan bandar seperti Lucknow serta Ranchi, sambutan begitu memeriah.
“Sama juga kalau kita buat Piala Dunia Remaja ini di Terengganu atau di Ipoh, Perak sudah pasti sambutan akan meriah dan stadium akan penuh dengan kehadiran penyokong,” katanya.
Tambahnya, dari segi promosi, mereka sudah melakukan melalui kerjasama radio seperti Hot FM dan Kool 101 bagi membantu menarik penyokong hadir ke stadium.