JURULATIH Bangladesh, Javier Cabrera terkilan kerana dia percaya mereka seharusnya mendapat sesuatu daripada perlawanan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 kali ini.

Bagaimanapun tetap berbangga dengan Javier juga percaya corak persembahan ini akan menjadi penggalak buat para pemainnya sebagai untuk menentang Malaysia selepas ini.

“Saya sangat berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan tetapi saya sedih kerana saya percaya kami seharusnya mendapat sesuatu untuk memenangi perlawanan ini. Kami mendominasi perlawanan tetapi sayangnya kami gagal untuk melakukannya.

“Kami akan terus memperbaiki dan bertanding dengan sesiapa pun dan ianya positif daripada para pemain meskipun mereka kini keletihan selepas dua perlawanan yang sukar dan akan kembali untuk bertemu Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Turkmenistan, Yazguly Hojageldiyev nyata lega dengan kemenangan ini walaupun berdepan tekanan sepanjang perlawanan.

Yazguly juga turut menyatakan bahawa Turkmenistan tidak mempunyai apa untuk dirisaukan apabila bertemu Bahrain selepas ini dan hanya fokus kepada pasukan kendaliannya sahaja.

“Kami memang menjangkakan perlawanan yang sukar dan pasukan lawan menunggu untuk kami melakukan kesilapan untuk menghukum kami. Pemain saya sedikit tertekan namun akhirnya apa yang penting kami mendapat tiga mata.

“Kami tidak mempunyai apa-apa untuk dirisaukan dan kami hanya perlu menewaskan Bahrain untuk mendapatkan tiga lagi mata dan kami akan menganalisa permainan mereka selepas ini,” jelasnya.

Kemenangan Turkmenistan ke atas Bangladesh kembali membuka peluang buat layak ke Piala Asia AFC 2023 manakala Bangladesh tersingkir dan kini hanya akan melengkapkan jadual menentang Malaysia pada Selasa.