MALAYSIA Football League (MFL) menegaskan tidak ada laluan istimewa buat Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) sekalipun sudah mengemukakan rayuan kepada MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk kembali bersaing dalam Liga Super musim hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan MAFA masih tertakluk dengan proses pelesenan kelab sekiranya berhasrat untuk kembali bersaing ke Liga Super yang akan membuka tirainya pada April 2024.
“Sudah pasti ada proses yang perlu dilalui mereka iaitu membabitkan proses pelesenan yang seharusnya dipatuhi mereka tetapi kita akan tunggu apabila mereka menghubungi kita nanti. Itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini,” katanya.
Terdahulu, MAFA mengesahkan pihaknya membuat rayuan kepada badan pengelola liga itu dan FAM bagi membolehkan pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Presiden MAFA, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata menerusi barisan kepimpinan MAFA yang baharu dilantik, badan induk bola sepak negeri itu juga akan mempersiap kerangka terbaik bagi memulihkan sukan itu di Melaka dan mengembalikan zaman kegemilangannya dalam saingan utama dalam negara.
Sebagai rekod, kelab Melaka United sebelum ini gagal memperolehi lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super pada musim ini selepas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.
MU didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11 dan tidak dapat bertanding selepas rayuan mereka ditolak.