SKUAD kebangsaan gagal mengatasi Bahrain apabila tewas 1-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan E Kelayakan Akhir Piala Asia AFC 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia gagal mengawal kelebihan mendahului apabila membenarkan lawan bangkit sekaligus mengutip tiga mata dan meneruskan kemarau kemenangan Harimau Malaya ke atas Bahrain.
Kim Pan Gon melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama dengan meletakkan Khuzaimee Piee, Junior Eldstal, Nazmi Faiz, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid.
Keadaan padang yang becak selepas hujan lebat di Bukit Jalil tidak menghalang Malaysia melakukan permulaan yang baik apabila berjaya menekan Bahrain dalam kawasan lawan.
Malaysia mempunyai tiga peluang keemasan pada babak pertama dengan dua percubaan dari Junior Eldstal yang melewati palang dan Akhyar Rashid yang ditepis baik penjaga gol Bahrain.
Stadium Nasional bergemuruh pada minit ke-55 apabila Mohamadou Sumareh berjaya menjaringkan gol pembukaan Harimau Malaya apabila menolak masuk hantaran lintang Khuzaimee Piee.
Namun begitu kegembiraan hampir 64,000 penyokong tidak kekal lama apabila Ali Abdula Haram menyamakan kedudukan dua minit selepas itu yang memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan negara.
KPG melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Guilherme De Paula, Safiq Rahim, Syafiq Ahmad dan Arif Aiman untuk mempertajamkan lagi serangan dan mengawal barisan tengah.
Kesilapan Farizal Marlias yang mengasari Ali Jaafar Madan dalam kotak penalti mengundang padah apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Abdulla Yusuf Helal untuk kedudukan 2-1 memihak Bahrain.
Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat dan Bahrain kini selesa dengan enam mata di tangga teratas sementara Malaysia kekal dengan tiga mata dan kini perlu menang keatas Bangladesh untuk layak ke Piala Asia.