KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan penggunaan Sistem ‘Semi-Automated Offside Technology’ (SAOT) dalam pertarungan Piala Asia 2023, Qatar yang berlangsung pada 12 Januari hadapan.
Difahamkan bahawa AFC juga telah menjadikan SAOT ini sebagai peneraju dalam menerapkan teknologi tersebut dalam kejohanan benua.
Teknologi yang sebelum ini pernah diimplimen dalam aksi Piala Dunia 2022 akan melibatkan 12 kamera strategik untuk mengesan posisi tepat antara pemain dan bola di padang.
SAOT juga telah menjalani ujian meluas selaras dengan garis panduan FIFA dan diluluskan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), sejurus memainkan peranan penting dalam membantu pengadil membuat keputusan tepat berkaitan ‘offside’.
Sebagai contoh bagaimana cara SAOT berfungsi, apabila pemain dianggap ‘offside’ menerima bola, isyarat akan dihantar kepada Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dan ianya membolehkan mereka menilai kedudukan secara automatik.
Dalam erti kata lain, penggunaan SAOT ini agak sinonim dengan VAR dan ianya mencerminkan komitmen tinggi oleh AFC terhadap peningkatan kualiti, ketepatan, dan integriti keputusan perlawanan.
Dengan kempen Piala Asia yang bermula pada 12 Januari, teknologi ini diharap dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada keadilan dan ketepatan dalam pentas bola sepak benua ini.