PENOLONG Jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote mengesahkan kontraknya bersama naib juara Liga Super 2023 sudah tamat musim ini.
Jurulatih berusia 46 tahun itu sudah pun berada di kampung halamannya di Sepanyol bersama keluarganya menjelang perayaan Krismas Isnin ini.
“Saya sudah selamat sampai di Sepanyol. Ya, ia kelihatan kontrak tidak disambung bersama Selangor FC.
“Pun begitu, saya menghargai dan gembira bersama Selangor. Saya mengucapkan selamat maju jaya untuk musim depan. Kembalinya pasukan ke Asia pastinya akan memberi momentum yang lebih cemerlang kepada kelab.
“Saya juga turut menyumbang kepada Selangor yang membawa pasukan ke pentas perlawanan antarabangsa. That is my real achievement,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Marcote yang pernah membimbing pasukan Kedah sebelum ini kembali ke Malaysia selepas menerima tawaran Selangor FC Januari lalu untuk bersama Tan Cheng Hoe.
“Apabila kelab membenarkan saya melakukan kerja, objektif pastinya tercapai. Pada 2015 ketika di Kedah, kami memenangi Liga Perdana dan beraksi dalam Piala Malaysia. Dan kini pencapaian bersama Selangor.
“Apabila kita bersatu dan penuh keyakinan, semuanya akan mudah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Marcote belum merancang langkah seterusnya selepas berakhir dengan Selangor FC.
“Saya akan lihat selepas ini. Sekarang hanya mahu menikmati Hari Krismas bersama keluarga”.
Untuk rekod, Marcote sebelum ini pernah bekerjasama bersama Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, pada tahun 2015 sebagai Jurulatih Kecergasan sebelum dilantik sebagai Ketua Jurulatih Lang Merah bagi musim 2018.
Pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro ini merupakan bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017.
Selain itu, dia juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih.