TIADA tempoh ‘bertenang’ buat pemain beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas berakhirnya musim 2023, apabila hanya mendapat rehat tiga hari sejak pulang dari Hangzhou, China.

Menurut Ee Wei, sebaik berakhir Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF pada 17 Disember lalu, dia kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas tiga hari menjejakkan kaki ke tanah air.

Begitupun, Ee Wei akur dengan komitmen yang menuntutnya bersama Tang Jie, untuk segera melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Terbuka Malaysia 2024 yang akan berlangsung 9 hingga 14 Januari depan.

Gadis kelahiran Melaka itu, amat menghargai pencapaian yang dilakarnya sejak digandingkan bersama Tang Jie pada November 2022, yang menyaksikan mereka melonjak dengan pantas ke dalam ranking Top 10 dunia.

“Sekarang ada dua minggu untuk latihan. Memang penat sedikit kerana sudah setahun tak ada menyertai latihan yang konsisten kerana sering menyertai kejohanan, jadi dua minggu ini kena berusaha lebih sedikit.

“Memang saya tak mahu berehat, mahu berlatih dan ‘pecut’,” kata Ee Wei yang meraih tiga gelaran sejak bersama Tang Jie, iaitu Cabaran Antarabangsa Iran, Masters Orleans dan Terbuka Taiwan.

“Selepas di China (Siri Jelajah Dunia BWF Akhir), saya berehat tiga hari dan kemudian terus berlatih, jadi tak ada masa untuk saya (berehat panjang).”

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, kandas di suku akkhir Masters Jepun 2023.

Pada Terbuka Malaysia 2024, Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu gandingan Perancis yang berada di ranking ke-11 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang pernah menewaskan mereka di Terbuka China September lalu.

“Lawan yang bukan mudah kerana daripada rekod pertemuan, kami 1-1. Saya tak mahu terlalu banyak berfikir mengenai pertemuan ini dan akan cuba melakukan yang terbaik.

“Kalau dilihat prestasi semasa, setiap orang ada peluang. Jadi bagi saya, jangan ada tekanan yang banyak dan kami perlu fokus untuk setiap perlawanan disertai,” katanya.

Ee Wei dan Tang Jie akan sibuk sehingga April tahun hadapan, selagi tempatnya ke Olimpik Paris, belum betul-betul selamat.