BINTANG Chelsea, Reece James mendedahkan menerima ‘lebih banyak kebencian’ daripada sokongan ketika kapten kelab itu berdebar-debar untuk menyertai Euro 2024 bersama England.

Pemain pertahanan itu menjalani pembedahan pada Khamis selepas terpaksa dikeluarkan hanya selepas 26 minit beraksi dalam kekalahan 2-0 di Everton pada 10 Disember dengan kecederaan hamstring.

James, 24, dijangka akan diketepikan dari perlawanan selama tiga hingga empat bulan, membuatkan tempatnya dalam skuad 23 orang Gareth Southgate untuk Euro 2024 terancam.

Di akaun Instagramnya, dia meluahkan kekecewaannya terhadap masa yang diambil untuk mencari rawatan terbaik serta kekecewaannya terhadap beberapa respon yang diterimanya.

Bintang 16 cap itu menulis: “Dunia bola sepak tahu saya cedera tetapi prosedur yang saya lalui kali ini mengambil sedikit masa untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya menjalani pembedahan hari ini (Khamis) untuk cuba mengatasi masalah hamstring yang berulang, pemulihan telah bermula, dari segi fizikal dan mental.”

“Sebenarnya selepas kecederaan ini, saya menerima sokongan yang baik tetapi lebih banyak kebencian. Percayalah, saya tidak mahu cedera, saya paling gembira apabila bermain bola sepak.”

“Terima kasih kepada individu yang memahami dan menyokong saya tanpa mengira kejayaan atau kegagalan, ia memberi impak yang besar. Kekal sihat, Reece,” tambahnya.

James telah terlepas 11 perlawanan sepanjang musim ini kerana kecederaan. Dia mengalami kecederaan hamstring menentang Liverpool pada hari pembukaan musim yang menghalangnya selama lebih dari dua bulan.

Dia kembali beraksi pada Oktober, tetapi hanya bermain dalam tujuh perlawanan sebelum dilanda dengan masalah kecederaan lain. Dalam kerjayanya, James terlibat dengan beberapa kali kecederaan hamstring sejak membuat debut profesionalnya pada 2019.

Walau bagaimanapun, dia berharap bahawa pembedahan yang dijalankan di Finland itu akan membantu mencegahnya daripada tercedera lagi di masa akan datang. Sekiranya proses pemulihan berjalan dengan lancar, James mungkin akan kembali beraksi pada Mac.

Namun, peluangnya untuk pulih sepenuhnya sebelum perlawanan persahabatan England menentang Brazil dan Belgium pada musim bunga adalah tipis. Ia boleh menjadi tamparan hebat pada harapannya untuk menyertai EURO 2024.