PEMAIN tengah Perak FC, Sunday Afolabi memberi rumusan bahawa penyokong-penyokong yang tidak henti memberi sokongan pada musim 2023 ini merupakan sumber kekuatan untuk dirinya kekal beraksi bersama skuad Seladang.
Berdasarkan satu kiriman yang dimuat naik dalam laman sosial peribadinya, Afolabi turut memberi penghormatan dan peringatan terhadap peminat yang meninggal selepas terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari stadium.
Difahamkan kejadian yang antaranya berlaku pada April lepas apabila dua penyokong setia The Bos Gaurus terbabit kemalangan selepas menonton perlawanan bola sepak antara Perak melawan Johor Darul Takzim (JDT).
“Saya sangat hargai kekuatan yang diberikan oleh Tuhan dari awal hingga ke saat ini. Dalam masa yang sama, saya ingin ucapkan terima kasih kepada pemain kami yang ke-12, iaitu para peminat yang luar biasa sentiasa sokong tanpa menyerah.
“Beberapa orang peminat meninggal dunia selepas pulang dari stadium, semoga roh mereka beristirahat dalam keamanan. Sesungguhnya ini musim yang indah dan penuh kenangan buat saya,” ujarnya dalam kiriman yang dimuat naik di laman Instagram peribadinya.
Bagi mengimbas kembali perjalanan pemain berusia 24 tahun itu bersama The Bos Gaurus, dia dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua iaitu Jun 2022 dan dirinya telah menonjolkan aksi yang cukup baik buat pasukan tersebut.
Oleh itu, pihak pengurusan kelab pula telah terpikat dengan cara permainan pemain kelahiran Nigeria ini sekali gus menyambung kontraknya selama dua tahun lagi.
Sebagai rekod, Afolabi kini mempunyai satu gol bersama Perak dan sebelumnya dia pernah mencipta nama di beberapa kelab luar seperti di Portugal, Slovakia dan Republik Czech.