PENYERANG Kelantan United, Ismaheel Akinade, hampir pasti memperkuatkan naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) untuk saingan musim 2024.

Sumber terdekat TFC berkata, pemain kelahiran Nigeria itu menjadi pilihan pengendali, Tomislav Steinbruckner, sebagai penyerang kedua skuad Peteh.

Menurutnya, Akinade, 29, merupakan penyerang ideal untuk digandingkan bersama penjaring terbanyak TFC musim ini, Ivan Mamut.

“Pemilihan Akinade dibuat sendiri ketua jurulatih (Steinbruckner) yang diberi kuasa menentukan penain sebelum dipersetujui Jawatankuasa Pemilihan dan Teknikal.

“Walaupun dianggap ‘murah’ dalam pasaran, pemilihan Akinade bukan tangkap muat sebaliknya jurulatih optimis dia mempunyai kualiti tersendiri selaku penyerang.

“Proses perpindahan pemain itu sedang berjalan dan pihak pengurusan kelab akan mengesahkannya dalam masa terdekat,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Habib antara pemain bergaji mahal dalam skuad Terengganu. 

Sementara itu seiring langkah penjimatan pada 2024, sumber itu mengakui faktor kewangan menjadi punca TFC terpaksa melepaskan Sony Norde dan Habib Haroon.

Difahamkan dua pemain itu adalah pemain bergaji paling mahal dalam skuad Penyu namun kekangan kewangan membantutkan hasrat khidmat mereka dikekalkan.

“Hanya Mamut dan Nurillo (Tukhtasinov) awang import yang dikekalkan manakala selebihnya digugurkan.

“Malah TFC mungkin tidak mendapatkan awang import Asean jika kualiti dan tahap permainan mereka setaraf pemain tempatan,” ujarnya.