SUSULAN jadual sepak mula Liga Malaysia untuk musim 2024/2025 yang baru diumumkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat, terdapat beberapa perkara yang ketara sedang menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

MFL terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya penglibatan pemain-pemain kelab Liga Malaysia bersama skuad senior kebangsaan, skuad bawah 23 tahun negara (B23), penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ternyata menyokong penuh terhadap agenda baharu yang dibawakan oleh pihak MFL.

Beliau menganggap tempoh masa yang ada lebih kurang lima bulan sebelum sepak mula Liga Malaysia 2024 relevan untuknya persiapkan pasukan yang akan memulakan latihan pada awal Januari depan.

Tambahan pula, Sabah FC yang bakal meneruskan kempen Piala AFC peringkat separuh akhir Zon Asean pada 13 atau 14 Februari 2024 pastinya akan berdepan jadual padat untuk mereka melakukan persediaan dengan lebih awal.

Justeru, bagi Kim Swee, kalendar baharu Liga Malaysia 2024 ini adalah satu keputusan yang baik untuk semua kelab apatah lagi skuad Sang Badak juga mempunyai beberapa pemain yang turut sama akan terlibat dengan skuad kebangsaan bagi Piala Asia di Qatar selain Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Situasi yang berbeza bagi Sabah FC di mana kita akan memulakan pra musim latihan seawal bulan Januari 2024 sebab kita akan beraksi dalam separuh akhir Piala AFC.

“Dan berkemungkinan kita juga akan menghadapi dua pra musim yang mana kita tahu akan ada pemain-pemain kebangsaan kita turut menghadapi latihan dan selepas itu akan ada Piala Asia di Qatar pula.

“Jadi selepas itu pemain akan kembali semula ke Sabah dan sudah tentu tempoh jurang masa antara Mac dan Mei itu akan beri sedikit masa kepada mereka untuk berehat,” jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM FC, Datuk Ahmad Yunus Alif juga senada dengan pendapat Kim Swee apabila memandang positif terhadap perubahan jadual yang dibuat oleh pihak MFL.

Bagi beliau, pengumuman musim baharu Liga Malaysia yang bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025 serba sedikit membantu memudahkan urusan kelab yang terbabit untuk memperkemaskan perancangan mereka.

“Tiada impak negatif yang saya lihat selain ianya membantu kelab-kelab dalam Malaysia ini sendiri.

“Berikutan isu bajet pula terpulang kepada kelab itu sendiri untuk bijak membuat bajet untuk musim baru kerana pra-musim selalu nya bermula dua bulan sebelum liga bermula.

“Jadi secara keseluruhan saya bersetuju dengan perubahan ini kerana tidak ada perlawanan liga yang akan tergendala oleh kerana mengikut kalendar FIFA,” katanya kepada FLASH SUKAN.