KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 (B-23), Juan Torres Garrido menilai terdapat beberapa aspek perlu dimantapkan lagi meskipun meraih keputusan tipis ke atas China B-23.
Pada perlawanan Antarabangsa Tier 2 di Stadium Jinshan, Shanghai, jaringan tunggal dalam masa kecederaan oleh Harith Haikal Adam Afkar cukup memberikan kelegaan yang sebelum itu bergelut memburu gol di babak pertama.
Ironinya, ini kemenangan pertama Malaysia B-23 ke atas China B-23 dari 17 pertemuan sejak kali pertama bertemu pada 1991.
“Saya cukup gembira secara keseluruhan. Kami sentiasa mencari aspek yang boleh diperbaiki, cuba menyesuaikan gaya permainan selain menjaringkan gol.
“Saya fikir prestasi semua adalah memuaskan hari ini. Seperti yang kami katakan, ia adalah ujian yang baik buat permulaan.
“China adalah pasukan yang sangat bagus, tetapi banyak aspek kita perlu menambah baik,” katanya menerusi video klip Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menjangkakan anak didiknya akan menghadapi saingan yang sangat sukar selepas ini.
“Jadi hari demi hari kami cuba untuk menjadi pasukan yang lebih baik apabila anda bermain dua kali dengan pasukan yang sama,” katanya.
Sementara itu, kapten Malaysia B-23, Mukhairi Ajmal Mahadi puas melihat kesungguhan rakan sepasukan memperagakan aksi penuh bersemangat walaupun bermain dalam kondisi cuaca sejuk.
“Alhamdulillah, gol saat akhir sebab kali pertama kemenangan perlawanan persahabatan kita dekat sini. Saya harap semua pemain kekal dan fokuslah untuk pertembungan akan datang nanti.
“Saya rasa teknik, taktikal dah baik dan menjadi, cuma kita perlu sabarlah sikit dengan bola
“Saya harap kita dapat menyesuaikan lagi dengan bola dan pada perlawanan akan datang kita buat yang lebih baik,” ujarnya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi perlawanan kedua di venue yang sama, Selasa ini sebelum menghadapi kempen sebenar di Doha, April depan.
Saingan Piala Asia B-23 2024 dijadualkan berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei 2024 di beberapa lokasi utama saingan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.