APABILA berbicara mengenai atlet atau sukan angkat berat, pasti ramai di kalangan rakyat yang terus berimaginasi soal diet pemakanan yang wajib mereka ikuti sebagai rutin makanan mereka.
Tetapi, bagi atlet angkat berat negara sendiri iaitu Muhammad Erry Hidayat berkongsi bahawa peredaran masa kini yang sangat mengikut trend diet terutama buat mereka yang gemar ke gimnasium sangat tidak masuk dek akal.
Muhammad Erry yang juga anak kepada jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon juga menegaskan bab pemakanan ini cukup sekadar mengambil makanan yang kurang berlemak dan berminyak selain mengikut kepada kalori setiap individu itu sendiri.
Erry yang juga dinobatkan sebagai Olahragawan Wilayah Persekutuan 2023 turut mendedahkan bahawa dirinya tidak terlalu terikat dengaan pemakanan dan pengambilan nasi berlauk setiap hari juga tidak menjadi masalah buat dirinya.
“Untuk atlet sendiri tidak salah makan nasi berlauk hari-hari tetapi tidak boleh berlebihan. Buat orang yang bekerja pula kena pandai baca metabolisma badan jika ingin minum kandungan bergula.
“Bagi saya, tidak perlu makan makanan yang mengarut sudahlah makanan seperti salmon, daging itu mahal.
“Soal diet ini memang penting bagi saya, tetapi nasi berlauk campur sayur itu dah cukup sihat dah,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, Erry turut menyatakan matlamat untuk musim 2024 iaitu ingin mengekalkan ranking dalam komanwel yang mana dirinya sebelum ini berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg.