KELAB Tottenham telah menerima satu lagi tamparan hebat berkenaan kecederaan pemain selepas Cristian Romero dijangka diketepikan sehingga lima minggu.

Pemain pertahanan Spurs itu mengalami kecederaan hamstring semasa kemenangan 2-1 ke atas Everton dan terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama.

Romero kemudiannya menjalani imbasan yang mengesahkan kecederaan hamstring dan ini menjadi satu lagi kehilangan besar di bahagian belakang skuad di bawah pengendalian Ange Postecoglou.

Jurulatih Australia itu sebelum ini telah kehilangan pemain yang dibeli pada musim panas, Micky Van de Ven, yang turut mengalami kecederaan hamstring semasa kekalahan 4-1 kepada Chelsea November lalu.

Van de Ven baru-baru ini menyatakan dia mungkin kembali dalam masa dua minggu, namun Postecoglou mengesahkan perlawanan menentang Manchester United pada 14 Januari merupakan tarikh paling awal buat pemain Belanda itu kembali beraksi.

Postecoglou berkata: “Situasi berkenaan Romero tidak begitu baik. Dia menjalani imbasan pada hari yang lain dan dia mengalami kecederaan hamstring. Jadi kami menjangka dia mungkin memerlukan empat minggu atau lima minggu untuk pulih.”

Sementara itu, Spurs telah lama dikatakan berminat untuk menambah satu lagi pemain pertahanan tengah semasa jendela perpindahan Januari.

Romero dan Van de Ven telah membentuk gandingan hebat tetapi kecederaan dan penggantungan telah mendedahkan kekurangan pemain pertahanan dalam skuad.

Spurs telah kehilangan Romero dengan penggantungan tiga perlawanan daripada kekalahan menentang Chelsea dan Spurs dikalahkan dalam kesemua tiga perlawanan tersebut.

Kecederaan pemain Argentina itu telah menunjukkan keperluan untuk pelaburan di bahagian belakang, dengan Spurs menyasarkan pemain Nice, Jean-Clair Todibo, walaupun Postecoglou mengatakan ia tidak mengubah rancangan mereka.

“Tidak, ia tidak mengubah apa-apa. Sudah tentu, kecewa untuk kehilangannya (Romero). Kami jelas terlepasnya kerana penggantungan dan sekarang, kami hampir mendapatkannya kembali dan menstabilkan keadaan namun, kami kehilangannya sekali lagi untuk tempoh yang agak lama.”

“Namun, ia tidak benar-benar berubah… anda tidak boleh mempercepatkan masa. Masih bulan Disember. 1 Januari kekal sebagai 1 Januari tanpa mengira situasi kami. Perancangan dan rancangan masih dalam bentuk yang sama,” tambahnya.

Image

Pasukan ini telah banyak dilanda kecederaan musim ini. Postecoglou telah kehilangan James Maddison sejak kekalahan kepada Chelsea pada Oktober sementara Ivan Perisic telah diketepikan untuk musim ini dengan kecederaan lutut.

Rodrigo Bentancur mengalami kecederaan buku lali selepas pulih daripada kecederaan ACL dan Manor Solomon turut dilanda kecederaan lutut. Sekurang-kurangnya ada berita baik untuk Van de Ven kembali, dengan pemain yang dibeli pada musim panas itu ditetapkan untuk kembali ke latihan dalam beberapa minggu akan datang.

Namun, skuad ini akan kekurangan pemain lagi bulan depan apabila kapten Heung-min Son serta Yves Bissouma dan Pape Matar Sarr berlepas ke negara masing-masing untuk Piala Asia dan Piala Afrika.