ADLI Golden Boy muncul juara WBC Asia di Bangkok Thailand selepas menumbangkan jaguh Thailand, Tanawat Ketsiri menerusi kemenangan pukulan ‘knockout’ (KO) pada aksi di Spaceplus, Bangkok.

Kembali dari tempoh kecederaan yang panjang, Adli Hafidz Mohd Pauzi, 34, tiada masalah menewaskan peninju Thailand yang jauh lebih muda itu, biarpun beza umur antara kedua-duanya 14 tahun.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong… memenangi perlawanan pada usia ini, ditambah dengan aksi pertama saya selepas enam bulan berehat dari kecederaan serius, suatu yang saya boleh banggakan.

“Terima kasih kepada penyokong dan sahabat yang mengikut saya ke Bangkok ini,” kata Adli Hafidz, selepas memenangi perlawanan itu.

Selepas bertarung sengit pada tiga pusingan awal, Adli Hafidz akhirnya diisytihar pemenang WBC Asian Continental Light Heavyweight, menerusi KO pada pusingan keempat.

Kali terakhir dia beraksi enam bulan lalu, Adli Hafidz mencapai kemenangan TKO ke atas peninju Indonesia, Bambang Rusiadi.