[KOMENTAR]
KEJAYAAN Harimau Malaya layak ke Piala Asia AFC 2023 yang dianjurkan Januari ini harus diraikan besar-besaran,
sebelum skuad bimbingan Kim Pan-gon berlepas ke Doha pada awal pagi 1 Januari 2024.
Sekalipun ada pihak yang menganggap FAM tidak perlu bantuan Kerajaan, jumlah peruntukan Fifa menerusi program Fifa Forward untuk semua 211 negara anggotanya tidak memadai jika bola sepak Malaysia benar-benar mahu disuburkan di semua peringkat.
Tanggungjawab FAM paling besar ialah membangunkan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur, secara spesifiknya skuad senior lelaki, skuad senior wanita, skuad Bawah 23 tahun lelaki, skuad lelaki Bawah 19 tahun, skuad lelaki Bawah 17 tahun selain skuad futsal lelaki dan wanita.
Pembentukan dan pembangunan untuk setiap pasukan ini menelan belanja yang besar. Sumber-sumber rapat Flashsukan menyimpulkan bahawa FAM harus membelanjakan lebih RM20 juta setahun andai mahu memberi pendedahan dan pertandingan serta latihan kem antarabangsa untuk setiap pasukan negara.
Berbanding dengan Tan Cheng Hoe dan rakan-rakan tempatannya, pelantikan Kim Pan-gon dan Jose Garrido memberi tekanan kewangan kepada FAM.
Senario ekonomi dunia dan kadar inflasi yang melambung serta nilai pertukaran wang asing pasca COVID-19 mengakibatkan FAM antara badan induk yang terjejas dari segi kewangan..
Jumlah pendapatan FAM setahun dianggarkan tidak sampai RM20 juta tetapi kos membiayai program latihan, tiket kapal terbang, penginapan serta elaun dan bonus untuk semua lapisan pasukan kebangsaan termasuk peringkat umur, bola sepak wanita serta futsal jauh lebih tinggi daripada itu.
Andai sukan, khususnya bola sepak, benar-benar dianggap ejen penyatuan terbaik untuk masyarakat majmuk yang kian jauh daripada asas-asas pembinaan negara bangsa dan prinsip Rukunegara, Kerajaan Persekutuan harus bersungguh-sungguh menjadikan FAM dan bola sepak sebagai rakan gandingan.
Di sebalik status bola sepak sebagai sukan nombor satu negara, FAM tidak mendapat bantuan Kerajaan sepenuhnya. Butiran kewangan FAM sejak lima tahun kebelakangan ini menunjukkan jumlah pendapatan yang sebahagian besar bersumberkan tajaan penaja, semakin merosot, sedangkan belanjawan tahunan FAM mencecah RM70 juta.
Dengan capaian audiens yang besar, bola sepak sudah menjadi sukan yang memerlukan pembiayaan yang tinggi disebabkan daya tarikan, nilai komersial, hiburan dan tuntutan terkini.
Bagi badan bukan kerajaan seperti FAM, memenuhi tuntutan ini memerlukan tenaga kerja yang mahir, apatah lagi bola sepak elit memerlukan kajian sains sukan dan pemakanan, data dan teknologi, modal insan yang cekap serta prasarana seiring dengan arus pembangunan selain latihan dan pertandingan untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa dalam membangunkan pasukan.
Jika dibandingkan dengan negara seperti Jepun, China dan Hong Kong yang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat masing-masing, FAM hanya menjalin persefahaman dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pelajaran, menerusi projek untuk murid dan pelajar sekolah Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN atau NFDP) serta Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sedangkan untuk melakar kejayaan, badan induk bola sepak negara perlu berganding bahu dengan Kerajaan Pusat dan semua kementerian berkaitan.
Berpandukan latar belakang ini, FAM harus mengajak Kerajaan Madani untuk mengubah dan mengangkat FAM ke dunia luar demi kelestarian industri bola sepak negara. Pemain, pentadbir, jurulatih dan jenama bola sepak tempatan boleh dijadikan sumber eksport bagi mengharumkan nama negara.
Tidak cukup jika Hannah Yeoh berseorangan menyokong FAM. FAM memerlukan sokongan Perdana Menteri dan seluruh ahli Kabinetnya.
Satu tanda sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap Harimau Malaya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk turun padang menyatakan sokongan kepada pasukan negara sebelum pasukan berlepas ke Qatar.
Sambil itu, apalah sudi kiranya Perdana Menteri mengumumkan sedikit insentif untuk pemain yang bakal bersaing dengan gergasi Asia.