PASUKAN bola jaring Pahang Tulips menggunakan platform Netball Super League (NSL) 2022 sebagai medan untuk membentuk skuad yang lebih mantap bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 yang dijadualkan pada September nanti.

Menurut jurulatih pasukan Hapizah Jaafar, Pahang Tulips membariskan majoriti pemain remaja dengan 11 pemain adalah anak kelahiran Pahang manakala seorang dari Sabah.

Skuad Tulips ini adalah sebahagian daripada program pembangunan sukan bola jaring negeri Pahang yang menjadikan Kuantan dan Maran sebagai pusat latihan pasukan.

“Ia memang kami menggunakan majoriti pemain muda dan kami gunakan pentas NSL ini sebagai persiapan kami ke Sukma XX nanti. Ramai pemain kami tidak dapat menyertai kejohanan ini musim lalu kerana menduduki peperiksaan SPM tetapi tahun ini mereka sudah bersedia.

“Saya gembira dengan perkembangan pasukan saya meskipun bermula agak perlahan tetapi kini mereka semakin menunjukkan aksi yang matang di dalam gelanggang,” ujar jurulatih Pahang Tulips itu.

Pahang Tulips menyasarkan empat tempat terbaik dalam Netball Super League manakala pingat gangsa pada Sukan Malaysia nanti.