PEMAIN sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid ingin membuktikan kepada pengkritik, penyenaraian namanya dalam 26 pemain ke skuad Piala Asia 2023 di Qatar bukanlah satu pertaruhan yang sia-sia.

Selepas digugurkan pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November lepas, anak kelahiran Dungun, Terengganu kembali mendapat panggilan daripada pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon.

“Piala Asia adalah pentas tertinggi bagi saya dan akan gunakan yang terbaik kalau diberi peluang (beraksi).

“Semua pemain saya rasa dalam hati semua nak bermain satu unit tak kisah siapa main, siapa tak main, janji kita nak dapat untuk melayakkan ke pusingan seterusnya,” katanya ditemui pemberita semasa sesi latihan hari keempat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.

Safawi yang menjadi kapten skuad negara pada kempen Piala AFF 2022 akui kurang minit permainan bersama JDT sejak tamat tempoh pinjaman dari kelab Thailand, Ratchaburi.

Tetapi, dirinya tetap melakukan latihan tambahan dan menjaga semua aspek dari segi makanan dan tidur untuk kekal cergas.

“Semua mental pemain dalam keadaan baik dan kita akan teruskan sampai ke perlawanan pertama dan bagi yang terbaik untuk kelab dan juga pasukan kebangsaan.

“Saya percaya kepada jurulatih tahu nak menggunakan semua player diambil. Pemain akan bagi sepenuh hati dalam sesi latihan dan pemain kena bersedia untuk tanggungjawab,” katanya pernah meledak dua golnya membantu skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Sebagai rekod, Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia Qatar 2023 akan menyingkap cabaran Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari diikuti Bahrain (20 Januari) dan musuh lama, Korea Selatan pada 25 Januari.