PEMAIN Cape Verde, Alvin Fortes kini dalam radar pengurusan Selangor FC sebagai persiapan awal menjelang saingan Liga Malaysia musim depan.
Pasukan Red Giants itu memulakan gerak kerja awal terutamanya bakal terlibat kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 serta memberi tumpuan dalam perebutan saingan Liga Super.
Selangor juga serius apabila dikatakan sedang ‘rancak’ berunding dengan Fortes yang pada musim lalu bermain untuk kelab Liga Thai 1, Ratchaburi sebelum berstatus pinjaman ke Nongbua Pitchaya.
Berusia 29 tahun, pemain kelahiran Rotterdam, Belanda itu bakal beraksi di posisi sayap Selangor dan berpotensi mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.
Fortes kini menjadi ejen bebas selepas tidak lagi terikat kontrak mana-mana pasukan, dan besar kemungkinan Selangor boleh mendapatkan khidmat pemain itu secara percuma.
Selain itu, penyerang Turki-Sweden Deniz Hummet dikatakan turut tersenarai dalam membentuk jentera ampuh di bahagian hadapan Selangor.
Walau bagaimanapun, ianya masih di peringkat awal dan segala keputusan akhir hanya akan dimaklumkan pihak pengurusan bola sepak itu.
Sementara itu, Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid percaya Fortes pemain sayap yang sesuai digandingkan bersama Faisal Halim, mengingatkan import terdahulu, Elie Aiboy pemain sayap import terbaik Selangor.
“Kalau benar ia satu berita yang menggembirakan saya sebagai penyokong.
“Pastinya pembelian ini amat berbaloi dan tepat lebih-lebih lagi Selangor akan bermain di Juara-Juara Asia 2,” katanya percaya kehadiran Fortes juga memberikan persaingan sengit buat cabaran dalam Liga Super nanti.