NEGARA dijangka tidak bermasalah untuk terus melahirkan pelari pecut berbakat seperti Muhammad Azeem Fahmi, di masa akan datang, namun perlu menunggu sehingga lima tahun lagi.
Bekas jurulatih jaguh pecut negara itu, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, tempoh empat hingga lima tahun mampu melahirkan ‘Next Azeem’.
Bertugas sebagai jurulatih pelapis kebangsaan bermula Julai lalu, Amir berkongsi sasaran peribadinya untuk memastikan barisan pelari pelapis mampu melayakkan diri beraksi di temasya Sukan Sea Bangkok 2025 terlebih dahulu.
“Saya masih mencari pelari terbaik. Ada yang berpotensi cuma kita tidak boleh harapkan kejayaan dalam sekelip mata untuk melihat pencabar Azeem.
“Prestasi pelari muda kita pun ketika ini seperti yo-yo. Jadi saya perlukan masa untuk membentuk mereka dan melihat sejauh mana kemahuan mereka untuk maju.
“Kita juga perlu ruang dan masa serta peluang untuk pelari muda ini berkembang dengan lebih baik bersama perancangan yang lebih teliti.
“Selepas itu, baru kita lihat perkembangan mereka dari masa ke semasa,” katanya.
Sebelum melihat pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m), sekarang, Amir mengakui beliau turut mengambil masa empat hingga lima tahun untuk menjadikan Azeem yang sekarang.
Malah, sejak berhijrah ke Bukit Jalil, beliau sedar Malaysia mempunyai ramai atlet yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan.
Katanya, secara peribadi, beliau mahukan atlet yang berada di bawah kendaliannya mencatatkan masa yang konsisten dan berlari sekitar 10.50s.