JOHOR Darul Ta’zim (JDT) yang berada di bawah kepimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah berjaya mengorak langkah cemerlang sepanjang musim 2023.
Kejayaan JDT yang meraih piala-piala berprestij seperti Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super telah menjadikan mereka sebagai pasukan pertama memenangi empat piala dalam satu musim.
Selain itu, JDT juga boleh diklasifikasikan sebagai pasukan berkelas tinggi selepas dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selain mencatatkan sejarah merangkul 26 buah trofi dalam tempoh 10 tahun.
Perkara ini turut mendapat kata sepakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam yang melihat JDT telah berada pada tahap berbeza hasil dari usaha kepimpinan TMJ.
“JDT juga bermula pada suatu saat dimana mempunyai arah dan matlamat yang jelas untuk dituju. JDT yang kita kenali hari ini tidak sama seperti beberapa tahun sebelum HRH TMJ mengambil alih kelab ini.
“Kepimpinan yang kuat dan konsisten diperlukan pada peringkat kelab untuk memastikan kelab-kelab lain dapat kekal bergerak seiring dengan JDT.
“JDT juga telah menetapkan piawaian baharu untuk liga kita, dan kita memerlukan ini untuk mendorong semua kelab agar mencapai standard yang lebih tinggi,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Stuart turut menambah bahawa kejayaan JDT adalah hasil dari pelaburan yang tidak dilihat terutama dalam segi kemudahan latihan, perubatan, pemakanan serta sains dan teknologi yang telah membawa mereka ke kedudukan hari ini.
“Pelaburan-pelaburan yang sering diabaikan ini adalah tulang belakang bagi apa yang JDT telah bina sekarang.
“Saya juga melihat beberapa usaha dari kelab-kelab lain tanpa keraguan. Walaupun mungkin memakan masa, kami berharap semua kelab akan lebih bekerja keras untuk meningkatkan keutamaan dari segi kemudahan dan perkhidmatan kepada peminat serta pemain mereka,” katanya.
Di sini kita boleh lihat bahawa kegigihan TMJ untuk mendominasi bola sepak Malaysia ternyata menjadi lebih realiti sejurus ianya telah meletakkan satu penanda aras baharu buat kelab-kelab yang lain.