PEMAIN tengah berpengalaman, Natxo Insa tidak ambil pusing tentang pemilihan namanya ke skuad akhir kebangsaan di Piala Asia 2023 di Qatar.
Sebelum ini, pelbagai reaksi ditimbulkan peminat yang seolah-olah mempertikaikan kewibawaan penyenaraian pemain Johor Darul Ta’zim itu selepas kurang mendapat minit permainan dalam Liga Malaysia.
“Sejujurnya, saya tidak membaca apa-apa di media sosial. Terima kasih kepada yang menyokong saya. Jadi tiada kesan kepada saya,” katanya ditemui pemberita di Balai Pelepasan KLIA, awal pagi Isnin.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon tiba di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Doha, Qatar bagi menghadapi Piala Asia 2023 bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Natxo, 37, yang lahir di Sepanyol memberitahu dirinya akan mempertaruhkan segala pengalamannya membantu skuad negara melangkah lebih jauh kejohanan empat tahun sekali itu.
“Apa yang saya katakan sebelum ini, gunakan pengalaman untuk cuba membantu pasukan.
“Perasaan saya sangat gembira berada di sini pada kejohanan penting ini, jadi saya hanya membayar untuk membantu pasukan mencapai perkara yang hebat,” katanya.
Ujar Natxo Insa lagi, kredit wajar dihamburkan buat para pemain Malaysia selepas menunjukkan mentaliti cemerlang sehingga layak ke pertandingan tertinggi peringkat benua secara merit sejak 42 tahun lampau.
“Sehingga kini sejujurnya, kami lebih profesional. Kami hari ini pergi ke Qatar kerana mereka melakukan kerja yang sangat baik. Tahun depan akan menjadi lebih baik dan juga pemain muda yang berada di belakang.
“Kami bekerja keras untuk cuba mencapai sesuatu untuk negara, untuk membuatkan rakyat juga gembira. Ia juga bagus untuk kanak-kanak yang menonton perlawanan itu kerana mereka melihat pemain negara bermain pada tahap yang baik,” kata bekas pemain Levante itu.