PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi akan meneruskan penerbangan terindah bersama rakan penerbangan rasmi, Malaysia Airlines Group.

Syarikat penerbangan itu sebelumnya pernah menjadi salah satu penaja FAM daripada tahun 2019 dan kali ini agak bertuah apabila mereka telah mencapai kata sepakat untuk menjadi penaja utama rasmi FAM pada tahun 2024.

Perkara ini juga telah diumumkan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada awal pagi Isnin di MAS Golden Lounge KLIA sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Qatar bagi bersiap sedia menghadapi pertarungan Kempen Piala Asia 2024.

“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Malaysia Airlines kerana sudi berkolaborasi kembali bersama kami (FAM) dan terus memberi sokongan terhadap bola sepak Malaysia,” katanya sambil disaksikan bersama skuad Harimau Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group, Ahmad Luqman Mohd Azmi pula turut menzahirkan rasa bangga apabila dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak FAM.

“Dengan kerjasama ini, kita harap ianya akan terus memberi impak yang baik buat bola sepak kita dan kita hanya doakan kejayaan buat pasukan kebangsaan di Qatar nanti.

“Jelas bahawa kerjasama yang baik dalam berpasukan adalah kunci pada kejayaan setiap usahasama,” ujarnya.