PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) menjelaskan tindakan menggunakan ‘penyodok sampah’ adalah tidak wajar dan secara tidak langsung mengakibatkan padang tersebut rosak sebelum aksi Kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di antara Bahrain dan Malaysia pada Sabtu malam.
Isu beberapa staf PSM menggunakan penyodok sampah ketika mengeluarkan air yang bertakung di atas padang selepas hujan lebat menjadi tular.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faiz Sanusi mengakui tindakan menggunakan penyodok sampah itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Duka menjadi lara bila tgok pdg Stadium BJ bergenang air…org Sgor dah biasa tgok, Stadium Sgor kan dh bertukar jd Pusat Akuatik🤡🇲🇾🤡 pic.twitter.com/IWta9VR6wS
— KuZek AiMan (@zekaiman) June 12, 2022
“PSM ingin juga menjelaskan tindakan ‘penyodok sampah’ adalah tidak wajar dan secara tidak langsung mengakibatkan padang tersebut rosak.
“Cadangan agar perlawanan itu ditangguhkan kepada jam 9.30 malam itu telah diutarakan malam tadi, namun perlawanan tersebut tetap diteruskan seperti waktu “kick-off” yang ditetapkan.
“PSM ingin menegaskan penangguhan itu amat perlu selepas menyaksikan hujan lebat tanpa henti lebih dua jam di kawasan sekitar Bukit Jalil,” jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, PSM sekali lagi turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.
“PSM bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran padang stadium yang dijadualkan bermula suku pertama tahun hadapan serta lain-lain penambahbaikkan Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh penganjur pada tahun ini.”