HASRAT penyokong bola sepak tanah air untuk menonton aksi Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bakal terlaksana apabila RTM dikhabarkan turut menyiarkan secara langsung kesemua perlawanan melibatkan skuad kendalian Kim Pan-gon itu.
Berita menggembirakan itu adalah sesuatu yang amat dinantikan buat penyokong-penyokong yang tidak mahu terlepas daripada mengikuti aksi Harimau Malaya di pentas tertinggi Asia sejak kali terakhir beraksi pada 2007.
Menerusi maklumat terkini yang dikongsikan secara eksklusif kepada Flash Sukan, RTM kini hampir pasti akan menyiarkan ketiga-tiga perlawanan Harimau Malaya dalam Kumpulan E bermula dengan pertemuan dengan Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.
Ketika ini, ketiga-tiga perlawanan itu akan disiarkan di saluran RTMKlik namun difahamkan RTM sedang berusaha untuk menayangkan perlawanan Harimau Malaya di saluran TV, RTM 1 atau RTM 2 sehingga aksi final selain menyajikan sorotan 51 perlawanan Piala Asia 2023.
Jelas usaha RTM ini menerusi sokongan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin patut dipuji bagi memberi pilihan buat penyokong negara menyaksikan perlawanan Piala Asia 2023 selain daripada siaran langsung di Astro.
Dengan siaran langsung RTM ini pasti dapat menyemarakkan lagi sokongan penyokong tanah air yang tidak berpeluang bertandang ke Doha dalam misi bersejarah Harimau Malaya kali ini.