PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan bayangan yang dia sudah tidak sabar untuk mengharungi musim baharu Liga Malaysia 2024-25 yang akan membuka tirainya pada Mei 2024.

Tunku Ismail menerusi hantaran di instastory peribadinya, memuat naik perkataan ‘EXCITED’ serta beberapa tanda pagar motivasi menggambarkan keterujaannya meskipun dilaporkan bakal melakukan penstrukturan semula kewangan kelab untuk lebih berdaya tahan pada masa hadapan.

Selain itu, Tunku Ismail juga berkongsi beberapa kata-kata pujangga daripada pakar strategi perang China, Sun Tzu, “Sentiasa bingungkan, kelirukan dan kejutkan musuh anda seboleh mungkin,” yang dilihat menggambarkan ada sesuatu yang besar bakal dilakukan JDT bagi menghadapi musim baharu ini.

Tidak hanya menghadapi saingan Liga Malaysia, Harimau Selatan juga bakal beraksi di pentas tertinggi bola sepak Asia, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) yang julung kali diperkenalkan melibatkan 24 kelab terbaik dari seluruh Asia dengan JDT salah satu dari 12 kelab terbaik dari Asia Timur.

JDT melakukan transformasi besar-besaran apabila melepaskan barisan kejurulatihan diketuai Esteban Solari selain menamatkan kontrak beberapa pemain senior dan meminjamkan lima pemain yang cukup berkualiti dan berkaliber.

Namun begitu difahamkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu bakal dibarisi pemain-pemain yang lebih baik terutama pemain import dengan Jalil Elias sudah disahkan sebagai salah seorang rekrut baharu Harimau Selatan.