PEMAIN pertahanan Buriram United, Dion Cools dijangka tiba menyertai skuad Harimau Malaya di Qatar pada hari ini selepas memuat naik gambar sedang berada dalam kapal terbang.

Berdasarkan paparan imej dikongsikan di Instastory, dia melakukan penerbangan terus dari Bangkok, Thailand menuju ke Doha.

Terdahulu, tonggak kacukan Belgium-Malaysia itu tidak dapat menyertai kem latihan pusat skuad Kim Pan-gon di tanah air sebagai persiapan ke Piala Asia 2023 selepas terikat jadual dengan kelabnya yang beraksi dalam Liga Thai 1.

Catatan terbaharu Cools di Instastory hari ini.

Malaysia tiba di Qatar pada Isnin, iaitu kira-kira dua minggu awal bagi membiasakan diri dengan persekitaran sebelum aksi pembuka tirai berdepan Jordan pada 15 Januari.

Tetapi, satu perlawanan pemanas badan diatur menentang Syria pada 8 Januari ini  bagi memastikan para pemain cukup bersedia dari segi fizikal dan kecergasan dan Cools dijangka tersenarai diturunkan.

Malaysia yang kini berada di ranking 130 dunia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari) dan Republik Korea di Stadium Al Janoub (25 Januari).

ARTIKEL BERKAITAN : Dion Cools tekad elak jaring Harimau Malaya bolos