IMPORT berbisa PDRM FC, Fadi Mahmoud Awad Saleh sah masih bersama skuad Sang Saka Biru sehingga tahun 2026.
Perkara itu telah diumumkan menerusi satu kiriman yang dimuat naik di laman sosial rasmi Instagram milik PDRM FC pada Selasa.
“Dengan sukacitanya kami ingin mengumumkan bahawa kontrak pemain kebangsaan Jordan, Fadi Awad disambung lagi dua tahun. Dia akan bersama kita sehingga 2026!,” berikutan kapsyen kiriman yang dimuat naik.
Fadi yang merupakan pemain tengah dan telah bersama skuad PDRM sejak di bawah kendalian jurulatih Azzmi Aziz berjaya mencatat dua gol pada musim 2023 dan itu cukup membuktikan bahawa dia antara yang memegang karakter penting dalam setiap pertarungan skuad The Cops.
PDRM FC kini tampak semakin kuat dengan barisan awang import seperti Fadi Awad, Uche Agba, Bruno Suzuki, Chukwu Nnabuike Chijioke, Marcus Macauley, James Okwuosa dan Kyaw Min Oo dan pastinya ini akan menjamin peluang yang lebih cerah pada musim baru 2024 ini.
Sementara itu, Fadi yang berusia 30 tahun merupakan antara pemain yang bakal menjadi perhatian dalam kempen Piala Asia Doha, Qatar 2023 kerana dirinya akan beraksi bersama skuad kebangsaannya, Jordan.
Menariknya, Jordan akan bertemu dengan skuad Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 pada 16 Januari nanti.