BEREGU campuran profesional negara, Lai Pei Jing berdepan pelbagai ujian, positif Covid 19, dijangkiti virus dan baru dua hari pulih dari demam, tetap tidak memilih jalan berputus asa dalam memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris, biarpun menyedari peluang mereka agak sukar.

Dia bersama gandingan Tan Kian Meng mengharapkan permulaan baik 2024 di Terbuka Malaysia, minggu hadapan selepas mengharungi musim 2023 yang tidak menyebelahi mereka.

“Untuk diri saya, secara fizikalnya belum 100 peratus bersedia terutamanya baru pulih dari Covid19, dua minggu dijangkiti virus dan demam baru puih, masih perit pada tekak dan pernafasan yang masih belum baik.

Bergandingan bersama Tan Kian Meng, Lai Pei Jing mengharapkan tahun 2024 membawa sinar sekali gus layak ke Olimpik Paris.

“Bagaimanapun dari segi mental sudah 100 peratus bersedia,” kata Pei Jing, ditemui Flash Sukan selepas sesi latihan di Pioneer Badminton Centre, Endah Parade.

Menurutnya, meskipun berada dio kedudukan ke-24, perlumbaan ke Paris 2024, Pei Jing berkata, peluang buat mereka menjadi beregu campuran kedua ke Paris, masih ada biarpun sukar.

“Kami sedar, Terbuka Malaysia amat penting kerana menawarkan mata yang tinggi. Jadi, sebagai pasangan berpengalaman, kami faham kejohanan pertama ini cukup fresh buat semua pemain, dan menghadirkan rasa teruja.

Lai Pei Jing berdepan ujian positif Covid 19, dijangkiti virus dan baru pulih dari demam.

“Kami akan mengambil pendekatan menyelesaikan satu persatu lawan dan fokus pada apa yang kami ada untuk memenangi perlawanan,” kata Pei Jing.

Pei Jing dan Kian Meng yang kini di ranking ke-25 dunia, dijadual menentang Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan seawal pusingan pertama.

Berdepan pilihan ketujuh kejohanan, Pei Jing akui bukan suatu yang mudah namun berdasarkan rekod tiga pertemuan lalu, Pei Jing-Kian Meng mengungguli 2-1 dan pada pertemuan terakhir di Kumamoto Masters, Jepun, November lalu, mereka menang dengan kemenangan straight set 21-14, 21-17, ke atas lawan dari Korea itu.