BELUM cukup selesa dengan pencapaian, atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menetapkan sasaran angkatan keseluruhan 300 kilogram (kg) pada kejohanan yang akan berlangsung di Thailand April depan.

Badang negara berusia 21 tahun itu berkata, dia giat menjalani latihan sebagai persiapan untuk mengharungi kejohanan penting terbabit, selepas berehat panjang setelah menyertai kejohanan pada Disember lalu.

Ujarnya, sasaran 300kg itu juga demi memastikan momentumnya melalui graf peningkatan sebelum menghadapi temasya besar seperti Olimpik di Paris.

Mohamad Aniq Kasdan meraikan kemenangan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham dalam acara 55kg lelaki. Pix Agency

“Perancangan persiapan sepanjang tempoh 2024 belum ada lagi namun ketika ini saya lebih tertumpu kepada proses pemulihan dan membaiki lagi angkatan untuk kejohanan akan datang.

“Alhamdulillah, saya tidak berhadapan sebarang kecederaan dan perkara penting adalah untuk mencapai sasaran 300kg pada kejohanan di Thailand,” katanya.

Kedudukan terkini ranking kelayakan Olimpik Paris bagi kategori 61kg. Aniq Kasdan di kedudukan ke-11 dengan dua atlet Indonesia, satu Thailand dan satu Filipina menjadi atlet angkat berat Asia Tenggara yang mendahuluinya ketika ini.

Aniq mencipta sensasi dengan memecahkan rekod kebangsaan untuk kategori 61 kilogram (kg), apabila melakukan angkatan keseluruhan 296kg pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa yang diadakan di Doha, Qatar bulan lalu.

Kemaskini ranking ke Paris 2024, Aniq berada di kedudukan ke-11 dengan 10 atlet terbaik saja yang layak ke Sukan Olimpik 2024.

Sebelum ini Aniq dimasukkan ke dalam program Road To Gold (RTG) selepas berjaya menduduki ranking ke-10 dunia.