PIALA Asia 2023 yang bakal membuka tirai saingan pada 12 Januari 2024 di Doha, Qatar bakal menyaksikan 440 pemain mewakili 16 pasukan bagi merebut trofi berprestij sekaligus bergelar juara Asia.
Dari 440 pemain itu, seramai 337 pemain beraksi dalam liga di seluruh Asia manakala 94 pemain beraksi dalam liga di Eropah manakala baki lima pemain beraksi di liga Amerika Selatan dan masing-masing dua di liga Afrika dan Amerika Utara.
Apa yang membanggakan, dari 337 pemain yang beraksi di liga seluruh Asia, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul kelab paling ramai menyumbang pemain di Piala Asia dengan 14 pemain yang mewakili tiga pasukan kebangsaan.
12 pemain JDT membawa cabaran Malaysia manakala Jordi Amat memikul tugasan bersama skuad kebangsaan Indonesia dan rekrut terbaharu Harimau Selatan, Jalil Elias mewakili Syria menjadikan JDT kelab terbanyak diwakili pemain di Piala Asia.
Kelab Selangor FC pula diwakili lima pemain dengan empat pemain mewakili Malaysia dan satu Jordan menerusi Noor Al Rawabdeh yang bakal bertemu Harimau Malaya dalam aksi pembukaan Kumpulan D.
Liga Malaysia pula diwakili tujuh pemain kebangsaan dengan satu pemain dari Tajikistan, Amirbek Juraboev yang bermain untuk Kedah Darul Aman FC dan satu dari Lebanon, Soony Saad yang beraksi buat Penang FC.
Pemain JDT dan Sabah FC, Jordi Amat dan Saddil Ramdhani masing-masing mewakili Indonesia manakala Noor Al Rawabdeh yang beraksi bersama Selangor FC dan Fadi Awad di PDRM FC mewakili Jordan manakala pemain seorang lagi pemain Kedah Darul Aman FC, Moses Atede mewakili Bahrain.
Tempat kedua dengan 11 pemain adalah kelab Qatar, Al Sadd dengan majoriti pemainnya mewakili skuad kebangsaan Qatar yang bakal beraksi di laman sendiri untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2019.