BEKAS pemain nombor 1 dunia, Novak Djokovic menegaskan dia sempat beraksi di Grand Slam Terbuka Australia minggu hadapan.

Pemain Serbia itu memberitahu, kecederaan dialaminya tidak begitu serius sehingga mampu menjejaskan peluangnya mencabar kejuaraan Grand Slam pertama tahun ini.

Kecederaan pergelangan tangan dialami Djokovic menyaksikan dia tewas 6-4, 6-4 ditangan Alex de Minaur di suku akhir Kejohanan Tenis Piala United, di Perth, Australia.

Kekalahan itu yang pertama buat Djokovic di Australia sejak enam tahun dia menentang De Minaur, sekali gus menyaksikan pasukan tuan rumah mengatasi Serbia 2-0.

Novak Djokovic tewas kepada Alex de Minaur pada Piala United di Perth, Australia, gara-gara cedera pergelangan tangan.  |Foto Agensi

“Saya sedar berkemungkin tidak akan berada pada tahap 100 peratus dari segi fizikal, emosi, mental mahupun permainan pada minggu pertama musim 2024 ini.

“Saya juga tidak mengharapkan itu berlaku. Saya tidak berada pada tahap terbaik dan lawan saya bermain sangat baik.

“Kecederaan ini… saya fikir akan pulih dengan cepat kerana kecederaan pergelangan tangan  tidak memberikan impak yang cukup besar. Saya mempunyai banyak masa untuk kekal pulih menjelang Terbuka Australia nanti.

“Proses pemulihan ini bukan sesuatu yang asing bagi saya. Ini bukan perkara yang luar biasa. Saya telah berada dalam situasi seperti ini begitu banyak kali dan saya tahu apa yang perlu saya lakukan bersama pasukan saya untuk membawa diri saya benar-benar bersedia ke perlawanan penting,” kata Djokovic.

Dia menegaskan akan memastikan fizikalnya di tahap terbaik sebelum beraksi di tahap tertinggi minggu hadapan. -Agensi