TONGGAK utama PDRM FC, Bruno Suzuki memasang cita-cita untuk menjaringkan lebih daripada 15 gol pada musim 2024 ini. 

Penyerang kelahiran Jepun itu turut yakin bahawa dengan semangat baharu yang tersemat di jiwanya, dia pasti boleh membantu skuad Sang Saka Biru untuk terbang lebih tinggi sejurus mencapai keputusan terbaik dalam Liga Super, setidaknya berada di kedudukan ‘Top 5’. 

Tambah Bruno, kehadiran tunangnya yang mungkin akan bertukar status sebagai isteri pada Mei kelak telah membantu meningkatkan lagi motivasi dalam dirinya dan itu merupakan salah satu pelengkap hidupnya.

Dia turut menggambarkan sikap tunangnya iaitu seorang yang memahami karier Bruno sebagai pemain bola sepak.

“Tunang saya adalah faktor pemangkin untuk saya terus berjuang membantu PDRM FC. 

“Sebelum ini saya berseorangan, dan sekarang saya ada tunang saya yang tidak henti bantu beri motivasi. Dengan itu, saya lebih yakin tahun ini saya dapat menampilkan prestasi lebih baik dan menjaringkan lebih daripada 15 gol.

“Tambahan dengan Coach Yunus Alif yang merupakan seorang jurulatih baik dan bijak dalam mengatur strategi, saya lebih pasti dengan masa depan skuad kami yang akan bergerak lebih kedepan dan cemerlang.

“Saya percaya beliau seorang yang berpengalaman luas dan dari segi beliau bercerita tentang bolasepak dengan kami, itu sudah cukup meyakinkan kami,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, tanpa segan-silu Bruno juga telah berkongsi perasannya apabila sudah memeluk Islam pada Ogos lalu. 

Menurutnya, Islam membuatkan dirinya berasa seperti baru memulakan kehidupan, iaitu menjamin lebih keharmonian dan ketenangan.