LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membayangkan Ng Tze Yong sebagai pemain yang cukup baik namun belum mencapai tahap kesempurnaan.

Justeru, juara 12 kali Terbuka Malaysia itu menggesa Tze Yong agar menampilkan persembahan terbaiknya pada saingan Terbuka Malaysia 2024, bermula Selasa ini.

Beraksi di laman sendiri, Chong Wei mahu pemain berusia 24 tahun itu, meningkatkan motivasi dan membuktikan rankingnya di tangga ke-15 dunia dengan menampilkan aksi ‘kelas A’.

Ng Tze Yong perlu lebih bermotivasi untuk memenangi perlawanan besar.

“Kita boleh nampak Tze Yong menunjukkan peningkatan prestasi sepanjang musim 2023. Nak cakap dia main bagus, tak boleh cakap bagus sangat tetapi ada peningkatan.

“Jadi, saya harap dia akan lebih menyerlah untuk musim 2024 bermula dengan Terbuka Malaysia minggu depan. Saya harap dia lebih fokus dan buat persiapan terbaik,” kata Chong Wei.

Tze Yong akan memulakan kempen di Terbuka Malaysia menentang pemain Jepun, Koki Watanabe.

Perlawanan itu menjadi peluang buat Tze Yong melunaskan dendam ke atas lawan yang menewaskannya di Terbuka Jepun, Julai tahun lalu.

Kejutan yang dilakar Ng Tze Yong sepanjang 2023 patut bertukar kepada perburuan gelaran sepanjang 2024. 

Prestasi Tze Yong sepanjang 2023 menyaksikan beberapa kejutan dirakamnya apabila menewaskan beberapa pemain utama dunia termasuk Viktor Axelsen dari Denmark di pusingan kedua Seluruh England, Mac tahun lalu.

Secara keseluruhan, dia mempamerkan peningkatan prestasi yang positif pada 2023 apabila berjaya melayakkan diri ke suku akhir sebanyak tujuh kali, dua kali mara ke separuh akhir dan sekali muncul naib juara di Terbuka Artik di Vantaa, Finland.

Dalam pada itu, Chong Wei optimis Tze Yong di landasan tepat untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan lelaki di temasya terbesar dunia itu selain Lee Zii Jia.

“Saya memang harap kita ada dua pemain perseorangan layak ke Sukan Olimpik. Saya tahu jurulatih (Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock) sedang bekerjas keras bagi membantu Tze Yong.”