MENTALITI yang ada pada Datuk Azizulhasni Awang bukan sekadar ‘wayang’ yang dipertontonkan, sebaliknya kesungguhan sebenar jaguh berbasikal trek negara itu.
Pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu menerusi laman sosialnya Facebook dan Instagram, berkongsi nilai sebenar dirinya yang mempunyai mentaliti berbeza dan sentiasa dahagakan kejayaan.
Pengalamannya sebagai seorang juara, cukup mematangkan dan tidak pernah gentar melaungkan impian biarpun dihujani pelbagai persoalan yang cuba menduganya.
Malah pelumba berusia 35 tahun itu seringkali diajukan kebimbangan, mencapai kemuncak prestasi terlalu awal dalam kerjaya.
Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkongsi gambar ketika muncul juara Siri Kejohanan Piala Dunia di Cali, Colombia pada 2010.
“Terjumpa gambar lama pada tahun 2010 ketika memenangi acara Keirin di Siri Kejohanan Piala Dunia Cali, Colombia.
“Ketika itu saya hanya berusia 22 tahun dan sudah berada di puncak dunia bersama jagoan yang lain. Ketika sekitar zaman ini, apabila berdepan dengan pihak media, saya sering dilontarkan dengan soalan, ‘Azizul tak takut ke peak terlalu awal di dalam karier, nanti tak dapat bertahan lama?’
“Jawab saya mudah, tidak. Ini kerana, saya adalah seorang yang dahagakan kejayaan dan saya mempunyai mentaliti yang berbeza.
“Ianya bukanlah ungkapan semata-mata akan tetapi sebuah bibit kata yang diadun dengan tindakan yang berterusan yang akhirnya menjadi sebuah kenyataan.
“Alhamdulillah, 2024 saya masih kekal berdiri di sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook dan Instagram.
Mentaliti juara pada Azizulhasni sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi, setelah beberapa kali bangkit daripada ‘episod hitam’ dalam kerjayanya termasuklah selepas terpaksa menjalani pembedahan jantung pada April 2022.
Selepas berehat panjang susulan pembedahan yang dijalaninya itu, Azizulhasni membuktikan dia masih ‘berbisa’ apabila berjaya menggondol dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) pada Jun tahun lalu.
Dia kini sekali lagi diletakkan sebagai sandaran untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.