KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, A. Arul Selvaraj mengakui kesemua 18 pemain yang akan membawa cabaran skuad Speedy Tigers untuk kelayakan ke Olimpik Paris bermula 15 Januari ini adalah pemain yang ‘versatile’.
Ini kerana dia mahu melihat beberapa perkara sebelum mengambil keputusan seperti kebolehan pemain bermain di beberapa posisi kerana ianya amat penting untuk bentuk pasukan terbaik seterusnya layak ke Olimpik sejak kali terakhir melakukannya di Temasya Sydney pada 2000.
Jelasnya juga kejohanan kelayakan itu hanya berlangsung kurang dari 10 hari menyebabkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hanya membenarkan 18 didaftarkan berbanding 20 pemain.
“Pertama saya akan tengok posisi pemain sebab bila saya datang, saya tukar posisi pemain bertujuan untuk cipta pasukan yang boleh main di posisi yang banyak seperti Firhan Ashari sebagai penyerang saya bawa ke pemain tengah, Shello Silverius dari posisi tengah ke penyerang.
“Tujuan saya untuk wujudkan ‘total hockey’ supaya pemain boleh bermain banyak posisi dan kebanyakan pemain yang ada ketika ini boleh bermain minimum dua posisi.
“Selain memberi kelebihan kepada taktikal kepada pasukan, saya juga kadang-kadang kena seimbangkan kerana saya kena ambil pemain yang ada semangat dan bermati-matian untuk pasukan,” katanya ketika pengumuman pemain di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Tambahnya lagi, dia turut menyatakan sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2020, beberapa perkara telah dilakukan untuk menukar corak permainan dan juga menjaga pola pemakanan para pemain untuk memastikan mereka mempunyai mentaliti seperti atlet Olimpik.
Mereka akan ke Oman pada 11 Januari untuk menghadapi dua perlawanan ujian menentang Kanada dan Chile sebelum mengharungi kempen hidup mati Speedy Tigers ke Olimpik.
Speedy Tiger akan membuka saingan yang berlangsung di Muscat, Oman menentang China pada 15 Januari, Great Britain 17 Januari dan melengkapkan perlawanan kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari.