NAMPAK gayanya kepakaran rakyat Malaysia di pentas Piala Asia 2023 terus ditagih Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)

Kali ini giliran bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang ‘dilamar’ badan induk itu untuk bertugas sebagai General Coordinator perlawanan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada 12 Januari-10 Februari 2024.

Mohd Saifuddin yang berpengalaman luas dalam teknikal perlawanan menjadi satu-satunya wakil negara sebagai General Coordinator di pentas tertinggi Asia itu.

Beliau yang meletakkan jawatan selaku Setiausaha Agung FAM pada 23 Ogos 2022 selepas menduduki kerusi itu pada 1 September 2021 juga memiliki pengalaman sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2003 hingga 2007.

Selepas meninggalkan FAM pada 2009, Mohd Saifuddin dilamar oleh penganjur liga profesional Qatar, Qatar Stars League untuk memegang tugas sebagai penolong ketua pertandingan liga sebelum berkhidmat sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019. Beliau juga adalah Komisioner Perlawanan FIFA dan AFC.

Sebelum ini, tiga pegawai perlawanan dari Malaysia iaitu seorang Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin serta dua Penolong Pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid dipilih bertugas di Piala Asia 2023.

Selain itu, dua lagi kelibat pegawai dari Malaysia iaitu bekas Pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh akan memainkan peranan selaku Pakar Teknikal serta Pengurus Pembangunan Pengadil & Pengadil Profesional FAM, C. Ravichandran sebagai Instruktur Kecergasan.