PEMAIN pertahanan skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal mahu rakan sepasukan kekal fokus dan tidak memberi alasan tidak bermain baik sepanjang kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar.

Kem Malaysia yang muncul antara pasukan terawal tiba di Doha sedang dalam fasa menyesuaikan diri dengan keadaan termasuk suhu di sini.

“Penting dalam latihan kita fokus dan 100 peratus untuk negara kita dan bagi mereka bangga dengan kita. Cuaca di sini sedikit berbeza.

“Sini sejuk. Di sini ada campuran pemain, kami dah biasa. Kami tahu keadaaan cuaca. Padang cantik, stadium cantik tak ada alasan permainan tak cantik,” katanya telah mengumpul 20 kaps dengan skuad kebangsaan.

Mengulas lanjut pertemuan pemanas badan bertemu Syria pada Isnin, pemain berdarah kacukan Malaysia-Sweden itu mahu memanfaatkan sebaik mungkin dan mengakhiri perlawanan dengan keputusan positif.

Katanya, kekuatan Syria hampir setara Jordan dan tempoh 90 minit permainan perlu digunakan ibarat aksi pertama Kumpulan E.

Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.