TERBUKA Malaysia 2024, amat penting buat gandingan profesional negara, kerana bakal menentukan nasib Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ke Olimpik Paris 2024.

Jurulatih beregu lelaki profesional negara, Rosman Razak menetapkan Yew Sin-Ee Yi menampilkan prestasi terbaik kali ini sekali gus mencerahkan peluang untuk beraksi di pentas Olimpik 2024.

Jelasnya, tempoh rehat tanpa kejohanan selama lima minggu, dimanfaatkan sebaik mungkin kepada aspek memulihkan kecederaan yang dihadapi serta meningkatkan lagi prestasi ke tahap lebih baik.

Rosman Razak (kanan) berharap Ong Yew Sin-Teo Ee Yi cepat dapatkan feeling kejohanan.

“Secara matematik masih ada peluang dan kita ada 10 kejohanan lagi (sehingg April) untuk kita buru tempat ke Olimpik (Paris 2024) dan kejohanan ini (Terbuka Malaysia) sangat penting. Kita kena dapatkan keputusan yang positif untuk kita dapat mata dan layak ke Olimpik.

“Kita tiada latihan yang panjang dan kita hanya ada lima minggu dari tahun lepas (kejohanan terakhir) untuk betulkan semuanya terutama kecederaan dan berharap mereka tiada kecederaan baharu serta berharap dapat tingkatkan prestasi.

Secara matematik, peluang untuk Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ke Olimpik masih terbuka.

Rosman mengakui, episod kecederaan dialami pemainnya, agak mengganggu prestasi sepanjang 2023.

“Sekarang kejohanan (2024) kembali bermula dan pemain perlu cepat dapatkan feeling kejohanan, kerana ia akan mempengaruhi gaya permainan,” katanya.

Pada edisi Terbuka Malaysia lalu, perjalanan Yew Sin-Ee Yi tersekat di suku akhir apabila tewas kepada beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang muncul juara beregu lelaki.

Kali terakhir pemain negara mengungguli beregu lelaki Terbuka Malaysia adalah pada 2014 menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah.