DATUK Razlan Razali, menyuarakan hasrat membentuk pasukan basikal profesional sebaris Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).
Bekas prinsipal pasukan CryptoDATA RNF MotoGP berkata, usaha membentuk pasukan profesional itu juga, menjadi sebahagian usahanya untuk memulihkan imej Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA).
Justeru, beliau menyatakan kesediaan untuk beralih mmimpin persatuan berbasikal dan bila-bila masa bersedia menggalas jawatan Presiden KLCA.
“Saya tak nak jawatan itu hanya semata-mata untuk pegang jawatan saja, tetapi kalau dapat satu-satu jawatan itu saya mahu buat yang terbaik,” kata Razlan, nekad jika dicalonkan jawatan nombor satu itu pada mesyuarat agung tahunan persatuan terbabit, bulan depan.
Meskipun belum memegang jawatan itu, Razlan sudah mempunyai perancangan rapi untuk memulihkan semula imej KLCA termasuk memastikan barisan pelumba di bawah naungan persatuan itu, untuk cemerlang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak Ogos depan, selain menyimpan impian membentuk pasukan elit sama seperti Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).
“Sekarang ini fokus utama adalah Sukma dahulu, kita lihat sejauh mana boleh dapat penajaan dan mungkin akan ada pelancaran semula persatuan. Tapi perancangan untuk membentuk pasukan elit atau semi pro juga dalam perancangan.
“Sasaran utama itu (membentuk pasukan elit) tapi bagi saya ini adalah satu proses yang berperingkat dan saya juga masih perlu tahu latar belakang KLCA,” katanya.
Mengulas mengenai minatnya yang beralih kepada sukan berbasikal, beliau berkata, berbasikal adalah sukan yang digemarinya selain sukan permotoran.
“Saya didatangi ahli jawatankuasa KLCA mengenai kemungkinan bertanding jawatan presiden sebelum Krismas.
“Saya beritahu bahawa saya memerlukan sedikit masa, mungkin seminggu atau dua minggu untuk memikirkannya kerana daripada pengalaman saya bersama Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), bukan mudah untuk mengendalikan persatuan.
“Keutamaan saya sentiasa mengenai sukan dua roda, tidak kira sama ada dalam sukan permotoran atau berbasikal dan ia termasuk membangunkan bakat muda.
“Kita semua tahu bahawa KLCA adalah sebuah persatuan yang cemerlang sebelum era 2000. Saya mahu mengembalikannya kepada kegemilangannya dahulu.
“Berpusat di Kuala Lumpur memberi kelebihan kepada persatuan jika dibandingkan dengan persatuan lain. Jadi secara teorinya, mereka sepatutnya dapat melakukan yang lebih baik,” katanya.