EKSKLUSIF dari Doha, Qatar
PALESTIN tiba di Doha dengan penuh keazaman untuk menyinar pada Piala Asia bagi memberi kegembiraan kepada rakyat mereka di tanah air yang menderita akibat serangan Israel yang berterusan di Gaza.
Di tengah-tengah ‘perasaan kebimbangan yang berterusan untuk keluarga mereka’, Lions of Canaan mengintai melakar sejarah ke Pusingan 16 edisi ke-18 kali ini.
Penjaga gol berpengalaman Palestin, Rami Hamadeh akui agak beremosi situasi semasa di negaranya, dengan rekod jumlah kematian melebihi 22,000 orang.
“Kami sangat kesal dengan apa yang berlaku di negara kami. Ia tidak mudah. Ia adalah sesuatu yang sangat sukar bagi kami, juga yang terlalu bermakna bagi kami yang akan berada di sini.
“Kami akan bermain untuk keluarga kami, untuk rakyat kami di Gaza dan Palestin juga kami mahu melakukan sesuatu untuk mereka ini untuk berasa sedikit gembira.
“Mungkin itu akan membantu kami juga, kepada semua orang di dunia untuk melihat kami bermain di sini. Kami tidak pernah melupakan apa yang berlaku di Palestin dan kami mempunyai mesej kepada seluruh dunia untuk mengatakan bahawa kami berada di sini setiap masa,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN selepas sesi latihan di padang Al Elssar, Doha, Qatar.
Skuad bimbingan jurulatih Makram Daboub membuat perlawanan ketiga berturut-turut dalam Piala Asia selepas tampil pada penampilan sulung 2015 dan melakukan kem latihan pusat yang berpangkalan di Arab Saudi.
Mereka akan menentang Iran dalam perlawanan pertama Kumpulan C dan dijadualkan menentang pemenang tiga kali, Iran di Stadium Education City pada 14 Januari.
Tanpa kemenangan dalam kejohanan dalam penampilan mereka sebelum ini, Palestin berdepan tugas berat untuk mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah pertandingan.
Sementara itu, Rami yang beraksi untuk kelab Jabal Al-Mukaber Club di Liga Perdana Tebing Barat teruja mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia yang sentiasa dekat di hati pasukan Palestin.
“Ya, kami tahu kami juga pernah pergi ke Malaysia sebelum ini. Kita lihat sokongan daripada rakyat Malaysia. Kami semua menghormati itu. Kami juga suka saudara kami di Malaysia.
“Terima kasih kerana bersama kami dan melihat kebenaran,” katanya yang berusia 29 tahun itu.
Selepas bertemu Iran, Palestin seterusnya akan berdepan UAE pada 18 Januari sebelum menentang Hong Kong dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 23 Januari.