SENTIASA tenang di gelanggang, menjadi kunci kejayaan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang melepasi pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024.
Ketenangan gandingan profesional negara itu menyaksikan mereka mudah mengatasi Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan, 21-14, 21-15 di pusingan pertama dalam aksi di Axiata Arena.
“Sebenarnya kami tidak fikir banyak di dalam gelanggang, mengambil satu mata demi mata seperti yang sudah dirancang. Kami sedar ketenangan perlu dipamerkan kerana lawan hendak menang dan kita pula hendak meraih straight set,” kata Yew Sin.
Sementara itu, Yew Sin turut mengakui, sikap tidak terburu-buru dan menunggu pihak lawan melakukan kesilapan membuahkan hasil buat gandingan negara.
Mengulas mengenai prestasi mereka, gandingan nombor 12 dunia itu yakin masih ada ruang yang boleh diperbaiki menjelang perlawanan pusingan kedua menentang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Kami akan fokuskan kepada peluang yang boleh memberikan mata selain berhati-hati dan mengelak daripada memberi mata mudah kepada pihak lawan.”
Dalam pada itu, Astrup-Skaarup Rasmussen mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-16, 21-10.