PERTAHANAN skuad Harimau Malaya, Daniel Ting sedia merebut kesebelasan utama sekiranya mendapat kepercayaan menjelang aksi sebenar pusingan akhir Piala Asia 2023.
Sedar saingan sengit daripada rakan sepasukan dalam posisi yang sama, Daniel bertekad membantu Malaysia mempertahankan kubu daripada serangan pasukan lawan untuk saingan Kumpulan E.
“Sudah tentu. Itulah sebabnya kami berada Qatar dan hadir ke kem latihan lebih awal supaya kami semua boleh bersedia
“Saya yakin, siapa pun yang akan bermain kami akan menunjukkan prestasi yang baik dan semoga kami boleh menang (pada perlawanan pertama),” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di hotel penginapan di Doha, Qatar pada Rabu.
Terdahulu, Kim Pan-gon menyatakan sesiapa sahaja boleh berada dalam kesebelasan utama negara dan tonggak Sabah FC itu dilihat ada kelebihan fizikal diturunkan untuk pertembungan pertama berdepan Jordan.
Mengulas lanjut, Daniel, 31, yang kini mengumpul empat kaps seronok melihat semangat setiakawan terjalin dalam pasukan sejak hari pertama latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.
“Sejak 26 Disember lagi kami bermula, dan pastinya mempunyai masa yang lama untuk membuat persiapan.
“Malah semasa menentang Syria, ianya bagus untuk kecergasan perlawanan dan menguji taktik yang telah kami praktikkan.
“Secara peribadi, sudah tentu amat besar bagi saya, berada dalam skuad negara untuk tempoh yang agak lama. Saya gembira berada di sini dan terlibat dalam pasukan kebangsaan.
“Saya rasa bertuah kerana sudah mengenali ramai pemain, jadi ia tidaklah seperti menyertai pasukan baharu. Banyak muka-muka yang dikenali.
“Seperti yang anda katakan, skuad Malaysia kali ini adalah konsisten. Hanya ada sedikit perubahan daripada setiap kem.
“Malah, hubungan kami semua rapat dan faham antara satu sama lain ketika bermain. Seperti yang saya katakan, kami dah biasa dalam pasukan.
“Ramai antara kita bermain bersama dan pada masa lalu, malah persahabatan terjalin cukup baik dan sangat bagus,” katanya melakukan debut ketika diturunkan menentang Hong Kong pada 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.