TAMPIL dengan rambut berwarna perang pada Terbuka Malaysia 2024, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi garang ketika membalas dendam kekalahan kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, kira-kira empat bulan lalu.
Jangkaan pertembungan sengit antara pasangan negara yang berada di ranking kesembilan dunia dengan lawan di ranking ke-11 dunia itu, meleset apabila Tang Jie-Ee Wei dilihat mendominasi perlawanan.
Mereka menang straight set 21-17, 21-18, dalam tempoh 47 minit, untuk melangkah ke pusingan kedua, menanti pemenang antara Hiroki Midorikawa-Natsu Saito (Jepun) dan Vinson Chiu-Jennie Gai (Amerika Syarikat).
“Untuk hari ini, saya rasa tahun baru, musim baru… jadi semua orang mahu lebih fokus dan memenangi Jelajah Dunia pertama tetapi bagi kami, kejohanan ini lebih istimewa kerana beraksi di laman sendiri.
“Tetapi hari ini saya rasa kita tak fikir banyak mengenai laman sendiri, Cuma mahu memenangi perlawanan sahaja,” kata Tang Jie, selepas memenangi perlawanan.
Menurutnya, bermain dengan penuh keyakinan dan lebih berani dalam gelanggang, sokongan padu penyokong dianggap sebagai ‘the best fans on the world’.
Sementara itu, Ee Wei menafikan kemenangan diraih mereka ada kaitan dengan fesyen rambut perang, sebalikny.
“Tiada benda mudah untuk menang kerana kami sudah lakukan latihan keras selama dua minggu untuk kejohanan ini.
“Kami bergaduh dalam latihan dan hari ini, kami support each others,” kata Ee Wei.
Menurutnya, ada masanya, latihan dijalaninya dan Tang Jie agak berbeza kerana fokus kepada aspek yang berbeza.
Menjelang pusingan kedua esok, Ee Wei menegaskan masih ada ruang untuk dia dan Tang Jie memperbaiki permainan.